NYALA RASA GURU
DR. MOHD AZAM BIN AHMAD, TKPPM
7 Mac 2025 | Auditorium IAB Bandar Enstek
KEMBALIKAN ROH GURU: SAKA GURU
Jadilah Pemimpin Guru Besar (PGB)
yang bermaya. Jangan hanya sibuk dengan aktiviti potluck, ride, dan berniaga.
Tugas seorang pemimpin sekolah adalah satu amanah—betulkan niat dan fokus pada
tanggungjawab sebenar. Jangan hanya terikut-ikut dengan budaya benchmarking
tanpa hala tuju yang jelas. Carilah pekerja yang kuat dan amanah, bukan sekadar
yang mahu bekerja mengikut keselesaan sendiri. Kita bukan dibayar gaji untuk
melakukan perkara yang kita suka, tetapi untuk melaksanakan amanah dengan penuh
tanggungjawab.
STRATEGI & POLISI: PERANAN SEORANG PGB
Lihat sekitar sekolah—adakah
masih ada paparan lama yang memaparkan "Countdown UPSR" atau "Sekolahku Sejahtera"? Malangnya perkara berkaitan MADANI seperti "Galeri Madani" dan "Dinding Madani" masih belum nampak sekolah @ institusi pendidikan paparkan. Fokus PGB bukan pada langsir atau hiasan
bunga, tetapi pada strategi dan polisi yang boleh membawa perubahan besar kepada
pendidikan sekolah. Seorang PGB perlu mengimani amanah yang diberikan untuk
mengangkat pendidikan negara serta membangunkan generasi MADANI. Reformasi
pendidikan yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan
melahirkan generasi sejahtera. Namun, dengan ketiadaan UPSR dan PT3, guru perlu
lebih cekap dalam melaksanakan dasar-dasar baharu bagi mengelakkan kegagalan di
peringkat operasi.
RETROSPEKSI DARI SEBUAH PERJALANAN DIRI
Perjalanan seorang guru tidak
terhenti pada usia, tempat, pengalaman, jawatan, atau pangkat. Belajarlah dari
perjalanan Mikraj diri sendiri—daripada seorang guru baharu, guru lama, guru
kanan, hingga ke peringkat pentadbiran seperti GPK dan PGB. Kuasai pedagogi
yang baik, kerana murid yang tidak hadir bukan sekadar isu disiplin tetapi juga
mencerminkan keberkesanan pengajaran. PGB pula mesti mengurus sekolah dengan
bijak agar tidak ketinggalan zaman.
PRINSIP KEPIMPINAN PGB
Seorang pemimpin mesti berpandukan prinsip yang kukuh bagi
menzahirkan pemikiran dan karakter yang jelas. Prinsip utama kepimpinan
meliputi:
Asas
Dasar
Gagasan
Pendidikan
"Be the right person at the right place."
Di mana pun kita diletakkan, kita
harus bekerja bersungguh-sungguh tanpa banyak alasan. Kepimpinan yang berkesan
memerlukan prinsip yang kukuh dan pelaksanaan kerja yang konsisten.
1. AKAUNTABILITI & TANGGUNGJAWAB
Seorang pemimpin mesti memimpin
pasukan dengan membangunkan semula "Nyala Rasa Guru" dan menanamkan
rasa sayang terhadap KPM. Jangan takut dalam membuat keputusan, tetapi jangan
pula menjadi PGB yang lemah. Bantu membangunkan guru dan kakitangan melalui
program LADAP dan PLC. Jaga anak bangsa dengan memastikan pendidikan yang
terbaik. Jangan terlalu banyak mengeluh, sebaliknya laksanakan penyesuaian
kurikulum dengan bijak. Seorang PGB perlu membimbing guru dan murid dengan
mindset yang betul.
2. AMANAH BUKAN LEGASI
Program Ziarah Cakna harus
dilakukan dengan kesungguhan, bukan sekadar formaliti. Jangan khianati amanah
yang diberikan. PGB bertanggungjawab dalam melaksanakan program aspirasi
perpaduan di sekolah. Buat kerja kerana amanah, bukan kerana populariti atau
keuntungan peribadi.
"Yang besar
itu amanah."
3. DATANG BEKERJA, DATANG UNTUK BEKERJA
Pendidikan Madani telah berjalan
selama dua tahun, tetapi masih ada sekolah yang tidak melaksanakannya dengan
baik. Fahami dan praktikkan Rukun Madani dalam pengurusan sekolah. Fokus pada
pendidikan digital, STEM, nilai, dan pembangunan insaniah. PGB harus menyusun
tugas dengan betul—jangan mengambil tugas guru atau GPK. Semua peserta perlu
belajar dan berkongsi ilmu dengan rakan sekerja. Seorang PGB mesti menjadi suri
teladan kepada guru-guru.
4. KERJA ITU REFLEKSI DIRI SENDIRI
Laksanakan kerja dengan
perancangan yang rapi dan strategi yang berkesan. Bekerjalah dengan kasih
sayang kerana kemuncak profesion seorang pendidik adalah cinta terhadap
kerjaya, pasukan, sekolah, dan anak murid.
5. KETUA ITU PENGHIMPUN
Seorang pemimpin yang gagal menghimpun pasukan akan berdepan
dengan perpecahan. Gunakan PLC untuk menghimpunkan kepakaran guru. Ketua dalam
kalangan guru harus membimbing dan menegur tanpa menjatuhkan maruah orang lain.
PGB perlu mengawasi guru yang terlalu aktif dalam media sosial seperti TikTok.
"Apa yang
kita lakukan, baik atau buruk, akan kembali kepada kita."
6. BERSYUKUR
Bersyukurlah dengan kepimpinan
KPM yang telah memperkenalkan NPQEL dengan bajet RM8,000 per peserta. Carilah
pekerja yang kuat minda dan bersemangat dalam pendidikan. Jangan terlalu sibuk
dengan aktiviti sampingan seperti perniagaan, ride, dan potluck sehingga
mengabaikan tugas utama. Bawa kasih sayang dalam pendidikan anak bangsa. Dr.
Azam menegaskan bahawa Islam itu kasih sayang.
7. KITA IALAH ORANGNYA
"Apabila
diabaikan amanah maka tunggulah saat kebinasaan. Apabila diserahkan urusan
kepada bukan orangnya maka tunggulah saat kebinasaan."
Sebagai PGB, hentikan budaya
mengecam KPM. Fokus pada membesarkan potensi murid. Guru harus memberikan
keyakinan terhadap sistem pendidikan yang ada.
8. KEMUNCAK PENDIDIKAN ITU IALAH CINTA
Cinta kepada:
Menteri
KPPM
TKPPM
Guru
Murid
9. BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN
Sentiasa berikan yang terbaik
dalam pekerjaan. Jika mahu sistem pendidikan bertaraf dunia, bakal PGB lah yang
akan menyempurnakannya.